Friday, April 10, 2009

Pengakuan Datuk Murad berlandas undang-undang

Berita Minggu, 7 November 1999

MINGGU ini Kiau nak cakap sikit pasal akuan berkanun atau surat sumpah yang dibuat oleh bekas Penolong Gabenor Bank Negara Datuk Abdul Murad Khalid yang dihebahkan kepada umum 28 Oktober lalu.

Walaupun sudah banyak dibincangkan mengenainya, Kiau rasa masih ada orang yang keliru atau kurang faham manakala yang lain pula cuba mengabui mata orang ramai untuk melindungi diri mereka.

Yang pertama dan terpenting ialah perakuan Murad itu sah dan tertakluk kepada undang-undang. Ia bukan tuduhan liar yang dibuat membuta-tuli atau dibuat menggunakan perlindungan mahkamah dan Parlimen.

Murad mengambil risiko peribadi yang cukup tinggi dengan membuat akuan itu. Di banyak negara lain, keselamatan orang macam dia tidak terjamin lagi.

Jika dia berbohong, dia dengan sendirinya melakukan kesalahan dan boleh dikenakan hukuman penjara sampai tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali di bawah Kanun Keseksaan.

Jadi dia tentulah tidak akan bersumpah dan membuat tuduhan yang begitu berat terhadap begitu banyak orang kalau tidak yakin atau tidak ada bukti yang kuat bahawa dakwaannya itu benar.

Salah-salah orang yang dia tuduh tak jadi apa-apa dia sendiri yang masuk penjara.

Apatah lagi sasaran utama dia bukan alang kepalang orang yang tak lain tak bukan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sehingga September tahun lalu adalah 'boss' dia.

Kalau Anwar dan konco-konconya betul-betul ada duit sampai RM3 bilion, mereka boleh saman dia sampai tak tinggal sehelai pakaian pun di badannya.

Tengok sajalah apa yang dibuat oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Nasional Dr Chandra Muzaffar. Dia sudah saman Murad RM70 juta.

Kedua Murad bukanlah alang kepalang orang. Dia diakui seorang ahli ekonomi dan kewangan yang handal dan disegani.

Sejak zaman Tun Daim Zainuddin jadi Menteri Kewangan lagi dia sudah dikenal pasti dan diakui sebagai pegawai muda yang cekap dan cepat belajar.

Kiau kenal dia lebih 10 tahun dan mendapatinya seorang yang baik, lembut dan berbudi bahasa.
Tetapi sama juga dengan banyak orang muda lain yang terpukau dan terpaku dengan kata manis bekas Timbalan Perdana Menteri itu, Murad diperalat dan dipergunakan. Demikianlah dia menyifatkan dirinya dalam akuan berkanun itu.

Ketiga, sebagai orang suruhan yang diyakini tidak mustahillah kalau Murad mempunyai butir dan maklumat terperinci mengenai urusan kewangan bekas ketuanya dan konco-konco beliau.

Apatah lagi Murad memang diketahui menjadi orang tengah dalam banyak urusan perniagaan konco-konco Anwar.

Keempat, oleh kerana Murad membuat tuduhan terhadap Anwar dan banyak yang lain berlandas undang-undang melalui akuan berkanunnya, maka adalah wajar bagi sesiapa juga yang berhasrat menafikan dakwaan beliau berbuat demikian berlandaskan undang-undang juga macam Chandra.

Kiau rasa kalau setakat penafian melalui kenyataan kepada media massa tidak berkesan. Orang tak percaya.

Begitu juga dengan membuat bermacam alasan seperti tidak percaya kepada mahkamah yang dibuat oleh naib presiden Keadilan Marina Yusof.

Lagi banyak alasan dan dolak dalik lagi banyak orang akan percaya ada perkara yang hendak disembunyi.

Terlanjur saman, apa salahnya minta ganti rugi berpuluh juta macam Chandra. Tak cukup dengan membersihkan nama, tuntut ganti rugi RM70 juta.

Kiau rasa mahkamah pun pening kepada macam mana seorang yang kononnya berprinsip tinggi dan tidak mengutamakan kekayaan harta benda boleh menilaikan maruah dan nama baiknya RM70 juta.

Nampaknya dalam dunia reformasi ini maruah dan nama baik yang dulunya tidak ternilai kini boleh diukur dengan ringgit dan sen.

Permohonan maaf dan pembetulan tidak memadai lagi. Maruah dan nama baik terpaksa ditebus dengan ganti rugi puluhan dan ratusan juta ringgit.

Maruah dan nama baik sudah boleh dijual beli.

LHDN siasat individu disebut Murad

Berita Harian, 6 November 1999

KUALA LUMPUR, Jumaat - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mungkin menyiasat rekod bayaran cukai pendapatan individu yang dinamakan dalam pengakuan berkanun bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid.

Ketua Pengarahnya, Datuk Najirah Mohd Tassaduk Khan, berkata LHDN boleh menyiasat sesiapa sahaja yang layak dikenakan cukai tetapi disyaki tidak mengisytiharkan pendapatan sebenar.

"Siasatan ini terhad kepada menentukan punca pendapatan seseorang bagi memastikan jika ia boleh dicukai dan sama ada bayaran sudah dibuat.

"Isu dari mana dan bagaimana pendapatan itu diperolehi bukan bidang kuasa LHDN," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kualiti LHDN di sini, hari ini.

Pengakuan berkanun Abdul Murad pada 26 Oktober lalu mendakwa bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim mengawal 20 akaun induk berjumlah RM3 bilion yang digunakan bagi mencapai cita-cita politiknya.

Abdul Murad turut menamakan beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan urusan dana berkenaan.

Najirah bagaimanapun berkata, LHDN tidak boleh mengenakan cukai sewenang-wenangnya hanya kerana seseorang itu mempunyai pendapatan.

Bukan semua jenis pendapatan boleh dicukai dan lazimnya identiti mereka yang disiasat dirahsiakan. Sebarang maklumat berhubung tindakan LHDN terhadap mana-mana pembayar cukai adalah sulit.

"Ini termaktub dalam Seksyen 138 Akta Cukai Pendapatan 1967 yang melarang pendedahan maklumat terbabit bagi melindungi kepentingan pembayar cukai," katanya.

Najirah turut mengumumkan kutipan cukai tahunan oleh LHDN sehingga pertengahan Oktober lalu sudah melebihi sasaran kutipan RM20.1 bilion yang ditetapkan kerajaan.

Tahun depan, katanya, tugas LHDN dijangka lebih mencabar kerana sasaran yang ditetapkan ialah RM27.2 bilion dan kaedah pencukaian menggunakan sistem taksiran sendiri (STS) turut dimulakan tahun yang sama.

KDN sedia lindungi Murad

Berita Harian, 6 November 1999

KUALA LUMPUR, Jumaat - Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedia memberi perlindungan kepada Datuk Abdul Murad Khalid jika bekas Penolong Gabenor Bank Negara itu berasakan dirinya terancam.

Timbalan Menterinya, Datuk Azmi Khalid, berkata Murad perlu memohon kepada kementeriannya sekiranya memerlukan perlindungan.

"Kita akan lihat kepada keperluan dan mengambil tindakan sewajarnya jika menerima permohonan daripada Murad. Bagaimanapun, setakat ini KDN belum menerima apa-apa permohonan daripadanya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmi diminta mengulas gesaan Ahli Parlimen Pokok Sena, Wan Hanafiah Wan Mat Saman yang mahu KDN memberi perlindungan kepada Murad.

Wan Hanafiah ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2000 di Dewan Rakyat semalam, berkata nyawa Murad kini dalam bahaya kerana mendedahkan Anwar mempunyai 20 akaun induk bernilai RM3 bilion.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata nyawa Murad berada dalam bahaya kerana mendedahkan Anwar yang menerima sokongan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.

CIA didakwa dalangi kegiatan politik Anwar

Berita Harian, 5 November 1999

KUALA LUMPUR, Khamis - Seorang penyokong kerajaan hari ini mendakwa Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat mendalangi aktiviti politik Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Wan Hanafiah Wan Mat Saman, berkata Keadilan dan barisan alternatif turut didalangi oleh CIA kerana menyokong perjuangan Anwar.

Serentak itu, beliau meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi perlindungan khusus kepada bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid yang mendedahkan 20 akaun induk Anwar bernilai RM3 bilion.

"Pendedahan Murad menunjukkan Anwar memberikan RM38 juta kepada bekas pekerja Majlis Keselamatan Negara AS, Douglas H Paal untuk Pusat Penyelidikan Dasar Asia Pasifik (APPC).

"Nyawa Murad dalam bahaya, jika CIA di belakang Anwar banyak benda boleh berlaku. AS mempunyai 'mission imposible' serta boleh gagalkan penyiasatan kes ini," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2000 di Dewan Rakyat, hari ini.

Wan Hanafiah juga meminta kerajaan khususnya Kementerian Kewangan memeriksa dengan menyeluruh pendedahan Murad dalam akuan berkanunnya, supaya rakyat memahami perkara sebenar.

Katanya, sokongan AS semakin jelas apabila Naib Presidennya, Al-Gore dan Setiausaha Negara, Madeline Albright memberi sokongan terbuka kepada penyokong reformasi ketika persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

"Sekarang kita tahu mengapa Cable News Network (CNN) memburuk-burukkan imej Perdana Menteri. Paal juga adalah CIA yang menyebabkan Al-Gore dan Albright menyokong reformasi tajaan Anwar," katanya.

Ketika meminta penjelasan Hanafiah, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Shafie Apdal turut mendedahkan perilaku Anwar yang pernah memaksa Kabinet Sabah supaya meluluskan lesen judi.

"Tidak wajar bagi seorang yang mengaku Islam sanggup memaksa Kabinet Sabah supaya meluluskan lesen judi. Kita juga ada saksi. Senator Datuk Pandikar Amin Mulia (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) boleh menjadi saksi," katanya.

Wan Hanafiah turut meminta Jabatan Perdana Menteri mewujudkan petugas khas menyiasat setiap masjid supaya ia tidak digunakan oleh parti politik.

Beliau berkata, Pas menggunakan masjid sebagai pentas politik kerana sudah terpengaruh dengan dakyah Yahudi.

"Rancangan Yahudi memang bertujuan untuk memecah-belahkan perpaduan masyarakat. Ini dibuat supaya orang Islam bergaduh dan tidak pergi lagi ke masjid.

"Kita tidak mahu masjid digunakan oleh Umno atau Pas, tetapi ia digunakan sebagai tempat beribadat," katanya.

Larangan dedah salah laku Anwar tanpa izin

Berita Harian, 5 November 1999

KUALA LUMPUR, Khamis - Semua ahli dan pemimpin Umno dilarang membuat sebarang pendedahan berkaitan salah laku Anwar kecuali selepas mendapat kebenaran presiden parti.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat MT Umno malam ini yang turut membincangkan pendedahan Murad berhubung salah laku Anwar termasuk mewujudkan lebih 20 akaun induk bernilai RM3 billion untuk mencapai cita-cita politiknya.

Larangan itu bertujuan memastikan setiap pendedahan mesti mempunyai bukti berbentuk dokumen supaya dapat dipertahankan jika ada pihak mengambil tindakan undang-undang.

Chandra saman Murad RM70 juta

Berita Harian, 4 November 1999

KUALA LUMPUR, Rabu - Timbalan Presiden Parti Keadilan Nasional (Keadilan), Dr Chandra Muzaffar, hari ini, memfailkan saman fitnah berjumlah RM70 juta terhadap bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid, kerana mendakwanya menerima RM5 juta daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dakwaan bahawa Chandra dan Aliran menerima wang sejumlah itu terkandung di dalam akuan berkanun bertarikh 26 Oktober 1999, yang turut menyenaraikan dakwaan penyelewengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Dalam kenyataan tuntutannya yang difailkan oleh Tetuan Skrine & Co di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Chandra menuntut RM25 juta bagi ganti rugi am dan RM45 juta bagi ganti rugi teruk, kos dan relif lanjutan lain.

Beliau juga memfailkan satu injunksi untuk menghalang Murad, ejen-ejennya, pekerja-pekerjanya atau yang lain, daripada terus menerbitkan dakwaan itu.

"Perkataan-perkataan (di dalam dakwaan itu) adalah palsu dan satu fitnah yang teruk ke atas Chandra," kata kenyataan tuntutan itu.

Dalam akuan berkanun yang diumumkan pada 28 Oktober lalu, Murad, 46, mendakwa bahawa lebih 20 'akaun induk' bernilai RM3 bilion diuruskan oleh orang tertentu untuk membolehkan Anwar memajukan cita-cita politiknya.

Beliau juga mendakwa bahawa sekurang-kurangnya sembilan pihak, termasuk Aliran dan Chandra, dibayar wang yang berjumlah RM121 juta sepanjang tempoh 1992 hingga 1997.

Menurut kenyataan tuntutan itu, 'pada mana-mana peringkat masa pun, Chandra tidak menerima apa-apa wang daripada Anwar Ibrahim atau Tabung Induk yang dikatakan itu. Pada mana-mana peringkat masa pun, Chandra tidak membenarkan dirinya dipergunakan untuk memenuhi cita-cita politik Anwar Ibrahim.'

Secara inuendo, perkataan-perkataan itu bermaksud untuk 'memburukkan dan menghina' Chandra di dalam jawatannya sebagai Timbalan Presiden Keadilan.

"Disebabkan penerbitan perkataan-perkataan itu, keperibadian, nama baik dan reputasi Chandra terjejas teruk," kata kenyataan tuntutan itu.

Menurut kenyataan tuntutan itu, Chandra juga berhenti sebagai presiden Aliran mulai 1991 dan hanya menjadi anggota biasa dari 1992 hingga 1997, yang bermakna beliau tidak mempunyai apa-apa peranan dalam proses membuat keputusan Aliran pada tempoh yang dikatakan itu.

"Disebabkan penerbitan perkataan-perkataan itu, Chandra dipandang rendah oleh mereka yang berfikiran wajar secara amnya, dan beliau telah dilibatkan dengan skandal awam, kebencian dan penghinaan," kata kenyataan itu. - Bernama

Alasan Marina sukar diterima akal

Berita Harian, 3 November 1999

KEENGGANAN Marina Yusof mencabar pengakuan berkanun bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid, bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim membantunya menyelesaikan hutang peribadi berjumlah RM20 juta, kini menimbulkan banyak persoalan.

Naib Presiden Parti Keadilan Nasional (Keadilan) itu tidak percaya Abdul Murad yang dikenalinya lama, sanggup berbuat demikian terhadap beliau. Lantas, Marina mendakwa kenyataan Abdul Murad itu dibuat secara paksaan dan didalangi oleh pihak tertentu yang mahu memburukkan imej beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Marina mendakwa pengakuan Abdul Murad itu mengandungi banyak kesilapan fakta dan gaya karangan itu hampir sama dengan beberapa pengakuan paksa yang digunakan sebagai bukti terhadap Anwar.

Agak pelik di sebalik menuduh apa yang didakwa Abdul Murad sebagai satu pembohongan, direka-reka oleh pihak tertentu dan faktanya tidak tepat yang secara langsung boleh memberikan imej buruk kepada beliau dan Anwar, Marina masih enggan mengambil tindakan undang-undang.

Alasan mudah yang diberikan oleh Marina - seorang peguam dan pernah menjadi majistret - jika tindakan undang-undang diteruskan, beliau tidak mendapat perbicaraan yang adil dan saksama.
Awal-awal lagi Marina sudah membuat kesimpulan bahawa jika tindakan undang-undang diteruskan, pada akhir perbicaraan keputusan hakim akan berpihak kepada Abdul Murad.

Lantaran itu, untuk memastikan keputusan berkenaan berpihak kepada beliau, Marina hanya bercadang untuk mengheret Abdul Murad ke mahkamah selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak lagi berkuasa. Beliau pasti ketika itu sahajalah mahkamah akan mendapati dakwaan Abdul Murad itu satu pembohongan!

Alasan Marina itu sukar diterima akal. Ramai melihat keengganan beliau mencabar kesahihan pengakuan berkanun Abdul Murad itu disebabkan tidak mempunyai asas kukuh menafikan kebenaran dakwaan terhadapnya.

Marina tahu jika beliau mengambil sikap berdiam diri, tindakan sebegitu akan dilihat sebagai mengakui akan apa yang didakwa Abdul Murad.

Justeru, beliau terpaksa juga bercakap mengenainya walaupun tidak dapat menafikan sama sekali dakwaan itu ada kebenaran atau sebaliknya. Namun, ramai yang akan melihat keengganan untuk mencabar Abdul Murad ke mahkamah kecuali apabila BN tidak lagi berkuasa, menguatkan lagi hakikat dakwaan itu barangkali kemungkinan ada kebenarannya.

Setakat ini beberapa pihak yang dibabitkan sudah tampil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Abdul Murad itu. Malah mereka sedang berunding dengan peguam masing-masing untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Abdul Murad. Tetapi tidak bagi Marina.

Kita percaya hanya tindakan undang-undang sahaja cara paling baik dan berkesan menyelesaikan dakwaan berlaku penyelewengan seperti ini. Lagipun dengan cara ini, tidak ada mana-mana pihak boleh menjadikannya isu, terutama sebagai modal politik untuk berkempen menjelang pilihanraya umum yang bakal tiba.

Sebagai seorang peguam yang berpengalaman, adalah tidak patut bagi Marina awal-awal lagi menuduh beliau tidak akan mendapat penghakiman saksama jika dakwaan Abdul Murad itu dibawa ke mahkamah.

Sebaliknya keengganan Marina mencabar pengakuan berkanun itu hanya akan dilihat sebagai muslihat beliau untuk menyelamatkan diri, seterusnya menggunakan isu itu sebagai bahan berkempen serta meraih simpati agar penyokongnya tetap bersama dengan Barisan Alternatif.

Ketika ini, memang sukar untuk ramai pihak, terutamanya penyokong Barisan Alternatif menerima bulat-bulat pengakuan berkanun itu apatah lagi apabila nama-nama yang disebut oleh Abdul Murad segera membuat penafian. Namun, ramai percaya satu demi satu apa yang didedahkan Abdul Murad itu akhirnya akan dapat terbukti. Cuma masa sahaja yang menentukan.

Kelmarin Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abu Zahar sendiri mengakui kroni Anwar cuba menyogok beliau dengan wang tunai satu beg bagi mendapatkan pengaruh politik ketika bekas Timbalan Perdana Menteri itu mahu mengambilalih jawatan Timbalan Presiden Umno dari Tun Ghafar Baba.

Ramai lagi yang menyatakan mereka akan tampil untuk memberi pengakuan dan membuat pendedahan seperti itu, sekaligus mengesahkan kebenaran dakwaan Abdul Murad itu.

Kita mahu mereka yang mempunyai maklumat atau pernah melalui pengalaman sebegitu berhubung tindak-tanduk Anwar dan kroninya, wajar terus mengemukakannya kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Ini disebabkan aspek rahsia penyiasatan adalah penting untuk memastikan kelicinan proses siasatan itu, terutama bagi memastikan saksi dan dokumen yang berkaitan sesuatu kes berkenaan dilindungi.